Tindakan agresif terhadap anggota Rela boleh disiasat

Tindakan agresif terhadap anggota Rela boleh disiasat

Rela pandang serius kejadian berlaku di Terminal Bas Johor Bahru Sentral apabila anggota bertugas diherdik orang awam.

lelaki marah anggota rela
Terdahulu tular video berdurasi 58 saat memaparkan situasi tegang membabitkan seorang lelaki dan seorang anggota Rela, mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
PETALING JAYA:
Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menegaskan, tindakan agresif terhadap anggota Rela bertugas boleh disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa, memandangkan anggotanya juga penjawat awam.

Dalam kenyataan hari ini, Rela berkata, pihaknya memandang serius kejadian berlaku di Terminal Bas Johor Bahru Sentral, Johor Bahru, pada Selasa, apabila seorang anggotanya diherdik oleh seorang individu di khalayak ramai.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika anggota berkenaan sedang bertugas membantu kelancaran pergerakan dan mengawal keselamatan orang awam di kawasan terminal.

“Anggota Rela tersebut ditegur secara kasar oleh seorang orang awam yang tidak berpuas hati selepas diminta mematuhi laluan yang telah ditetapkan ketika ingin menggunakan perkhidmatan bas.

“Pihak Jabatan menghargai profesionalisme dan kesabaran anggota Rela tersebut ketika menangani situasi tegang dengan berhemah tanpa sebarang provokasi,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 58 saat memaparkan situasi tegang membabitkan seorang lelaki dan seorang anggota Rela, mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Berdepan situasi tegang itu, anggota Rela itu dilihat tidak bertindak balas, sebaliknya meminta individu itu beredar ke tempat lain.

Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Rela menyediakan laporan lengkap berhubung insiden tersebut.

Dalam pada itu, Rela berkata, pihaknya memberikan latihan dan bimbingan berterusan bagi mengekalkan dan mempertingkatkan kualiti anggota bertugas.

“Semoga usaha ini akan meningkatkan keyakinan orang awam dalam mendapatkan perkhidmatan anggota Rela dalam sebarang penugasan yang ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.