
Beliau berkata, ia bagi mengelak penjawat awam terjerumus masalah keterhutangan tinggi melebihi kemampuan untuk membuat bayaran balik.
“Semua ketua jabatan diingatkan supaya memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana kita tidak mahu penjawat awam menanggung hutang yang besar hingga menyebabkan mereka hilang tumpuan kepada kerja,” katanya menurut Bernama
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pegawai Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Azhar Arshad.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai bank ditahan menerusi Ops Sky, iaitu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang membabitkan syarikat perunding kewangan yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sindiket berkenaan dikatakan menawarkan khidmat perunding kewangan kepada penjawat awam melalui media sosial selain menganjurkan jelajah ke beberapa jabatan dan kementerian.
Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan telah menggariskan peraturan tertentu kepada penjawat awam berkaitan hutang dan ia perlu dipatuhi.
“Dari segi peraturannya telah sedia ada dan bagi kes yang dinyatakan tadi (Ops Sky), kita serahkan kepada pihak berkaitan kerana ia telah menjadi satu perkara yang dibawa ke mahkamah,” katanya.