
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan tersebut dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
“Siasatan sudah dimulakan oleh JPDP,” katanya secara ringkas kepada FMT.
Beliau sebelum itu diminta mengulas kenyataan iPay88 yang mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin telah menjejaskan data kad pengguna.
Ketika ditanya adakah kementerian maklum mengenai perkara itu serta diminta mengulas perkembangan siasatan tersebut, beliau hanya menjawab “tidak semudah itu”.
Firma e-dagang dalam kenyataan awal hari ini berkata, sejak 31 Mei lalu, mereka telah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu tersebut.
Ipay88 turut berkata, siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.
Bagaimanapun Ipay88 tidak menyatakan bila pelanggaran keselamatan dipercayai berlaku.
Terdahulu, dua persatuan perbankan memberi jaminan kepada pemegang kad bahawa, data milik mereka selamat walaupun berlaku pelanggaran keselamatan siber.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), berkata pihak bank sudah melaksanakan pendekatan lebih berjaga-jaga untuk menangani pelanggaran keselamatan siber.