
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan iklan gula-gula itu diturunkan.
“Kita mengarahkan platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok untuk menurunkan iklan yang mempromosikan gula-gula tersebut.
“Pejabat Kesihatan Daerah seluruh negara turut diarahkan melaksanakan penguatkuasaan di premis fizikal dan merampas produk yang masih dijual,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia dalam satu majlis di Langkawi.
KKM pada Jumaat lalu mengumumkan larangan penjualan produk gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata di semua platform dalam talian mahupun pasaran domestik.
Kementerian itu menjelaskan siasatan mendapati produk itu menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Tindakan itu selepas Fahmi Hafiz Fakhruddin, 10, tercekik gula-gula tersebut yang dibeli di luar SK Sungai Dua di Butterworth pada Selasa. Fahmi yang kritikal meninggal dunia di hospital pada Khamis.