
Low Choo Choon, 71, hanya menyedari status dirinya sudah “mati” ketika mahu membuat laporan polis selepas kehilangan dokumen itu Januari lalu.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis dan memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk penyelesaian segera.
“Saya sudah melaporkan perkara ini kepada JPN di Setia Tropika, Johor, pada 2 Jun lalu, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
“Sejak itu, sudah beberapa kali saya pergi ke JPN, ada mereka suruh datang dua minggu lagi, tetapi apabila datang macam-macam alasan diberi.
“Namun, masalah tetap tidak selesai walaupun surat rasmi telah dibuat,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Low berkata demikian pada sidang media bersama ADUN Senai Wong Bor Yang di Setia Tropika.
Berikutan itu, Low mengakui dia berdepan pelbagai masalah apatah lagi dengan maklumat pengenalan dirinya direkodkan sebagai sudah meninggal dunia.
“Lesen memandu saya akan tamat tempoh bulan depan, pasti sukar untuk saya memperbaharuinya. Ini secara langsung akan menyukarkan saya untuk terus pergi bekerja sekiranya tidak mempunyai lesen.
“Saya juga bimbang sekiranya pihak bank menutup akaun kerana status tersebut sehingga menyebabkan saya tidak dapat mengeluarkan wang yang disimpan,” katanya.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa khususnya JPN dapat memperbetulkan status itu bagi membolehkannya meneruskan kehidupan.
“Saya mohon jasa baik JPN untuk mengaktifkan semula kad pengenalan, saya sudah berusia dan kurang sihat, penat sekiranya saya masih perlu turun naik ke bangunan JPN untuk menguruskan hal ini,” jelasnya.