Saya tiada maklumat, serah pada SPRM untuk siasat Bestinet, kata Saravanan

Saya tiada maklumat, serah pada SPRM untuk siasat Bestinet, kata Saravanan

Menteri sumber manusia itu berkata, beliau juga tidak tahu jika ada individu yang ditahan dalam siasatan itu.

M Saravanan berkata, beliau belum mendapat sebarang maklumat lanjut berhubung siasatan SPRM ke atas Bestinet.
SEPANG:
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Bestinet Sdn Bhd membabitkan pemilihan 25 agensi Bangladesh untuk pengambilan pekerja asing.

Buat masa ini, katanya, beliau belum mendapat sebarang maklumat lanjut mengenai siasatan agensi anti-rasuah itu ke atas Bestinet.

“Saya tidak tahu. Saya tidak maklumat. Saya pun dengar juga.

“Siasatan itu biasalah semua. Bila ada aduan ataupun tuduhan, pihak berkuasa akan siasat,” katanya selepas menghadiri Program MIC di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ampar Tenang.

Saravanan berkata, beliau juga tidak tahu jika ada individu yang ditahan dalam siasatan itu.

“Kena tanya SPRM, bukan saya, mana saya tahu siapa kena tahan?” katanya.

Rabu lalu, Bestinet mengesahkan pejabatnya diserbu SPRM sehari sebelumnya dan tiada kakitangan atau pengurusannya ditahan susulan serbuan itu.

Bestinet terbabit dalam pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Sebelum ini, sebuah agensi buruh di Dhaka mendakwa pengasas Bestinet, Amin Abdul Nor “memujuk” kerajaan mengehadkan jumlah agensi yang membekalkan buruh kepada hanya 25.

Terdahulu, sumber memberitahu FMT bahawa SPRM menyerbu beberapa syarikat milik seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Sumber itu dilaporkan berkata, siasatan SPRM akan memfokuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, yang membabitkan dua kementerian dalam pengambilan pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.