Siasatan IJM: SPRM beku 55 akaun hampir RM15.8 juta

Siasatan IJM: SPRM beku 55 akaun hampir RM15.8 juta

Empat lokasi digeledah termasuk di kediaman individu.

macc
SPRM bertindak beku 55 akaun persendirian dan akaun syarikat berkaitan dalam Ops Heart.
PETALING JAYA:
Sebanyak 55 akaun dengan nilai keseluruhan hampir RM15.8 juta dibeku susulan tindakan penggeledahan pejabat IJM Corporation Berhad (IJM) semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empat lokasi termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur, dan industri itu, digeledah dalam Ops Heart.

Memetik sumber, berkata penggeledahan itu juga susulan siasatan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM terhadap dua individu pengurusan tertinggi IJM.

“SPRM kini menjalankan siasatan berhubung kes sebuah konglomerat berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

“Pasukan penyiasat sudah membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan, iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi syarikat berstatus mega itu.

“Dalam operasi ini, SPRM juga membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan keseluruhan nilai kira-kira RM15.8 juta,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata sembilan individu, termasuk dua pengurusan tertinggi IJM Corporation untuk memberi keterangan berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram RM2.5 bilion.

Kelmarin, media melaporkan seorang pengurusan tertinggi syarikat itu yang bergelar Tan Sri dan seorang penasihat dikenal pasti individu berkepentingan dalam kes terbabit.

Serious Fraud Office United Kingdom mendedahkan siasatan dilancarkan ke atas dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah dikaitkan dengan transaksi pelaburan berbilion ringgit membabitkan dua eksekutif syarikat itu.

Pada 12 Jan lalu, Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.