
Dalam pengumuman di Bursa Malaysia hari ini, Sunway berkata, cadangan pengambilalihan itu akan diteruskan selaras dengan peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai pengambilalihan, penggabungan dan pemerolehan.
“Cadangan tawaran ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunway yang akan dipohon dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan,” katanya.
Dalam satu makluman Bursa pada 12 Jan, Sunway mengumumkan ia telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.
Sunway dikawal oleh pengasas dan pengerusinya, Jeffrey Cheah, yang memegang 0.5% kepentingan langsung dan 60% kepentingan tidak langsung.
Hampir separuh saham IJM dipegang oleh entiti-entiti berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham terbesar (16.8%), Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Cadangan pengambilalihan itu dikritik oleh segelintir pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), yang menjangkakan urus niaga itu menggugat pegangan ekuiti Bumiputera, menjejaskan kepentingan negara serta meletakkan nilai terlalu rendah ke atas IJM.
SPRM kemudian mula menyiasat IJM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Difahamkan kes berkenaan boleh menjejaskan rancangan Sunway untuk mengambil alih IJM.
IJM bagaimanapun menafikan tuduhan pengubahan wang haram terhadap dua individu yang dikaitkan dengannya, termasuk pengerusinya Krishnan Tan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa pihaknya dan sekutunya di United Kingdom tidak tahu wujudnya siasatan pengubahan wang haram oleh Serious Fraud Office di negara itu.