
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan cadangan itu sebagai langkah pertama penting ke arah meruntuhkan apa yang digelar sebagai satu bentuk ‘penjajahan sisa’.
Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani punca sebenar masalah tersebut.
“Malaysia dan dunia perlu mengurangkan pengeluaran yang tidak mampan secara besar-besaran. Meminimakan pengeluaran sisa, serta dasar dan sistem sifar sisa adalah jalan ke hadapan untuk menamatkan krisis ini,” kata Setiausaha Kehormat CAP dan SAM, S Mageswari.
Mageswari berkata pemerdagangan sisa kekal sebagai masalah utama, dengan penghantaran yang diisytiharkan secara palsu sebagai bahan boleh dikitar semula, plastik mentah atau barangan terpakai bagi mengelakkan pemeriksaan kastam.
Beliau berkata barangan yang sah sering dicampurkan dalam penghantaran untuk menyembunyikan sisa berbahaya.
“Sektor sisa sangat terdedah kepada rasuah kerana penjenayah melihat peluang untuk merasuah pegawai bagi mendapatkan permit, memalsukan dokumen, menutup mata terhadap pelanggaran dan menghalang pemeriksaan,” kata Mageswari.
Beliau merujuk kepada satu kajian mengenai pemerdagangan sisa yang dibentangkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Greenpeace Malaysia turut berkata moratorium itu mesti dimanfaatkan sebagai satu peluang untuk menggubal dasar kekal berasaskan sains yang dapat melindungi komuniti dan alam sekitar dalam jangka panjang.
Ketua Kempen NGO itu, Heng Kiah Chun, berkata langkah tersebut harus merangkumi larangan import sisa plastik berorientasikan eksport, khususnya plastik bernilai rendah dan sukar dikitar semula yang tidak mampu diuruskan dengan selamat oleh Malaysia.
Beliau juga menggesa penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap Konvensyen Basel, iaitu perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan sisa berbahaya merentasi sempadan.
Heng menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan dasar tanggungjawab pengeluar diperluas, yang direka untuk memastikan pengeluar bertanggungjawab menguruskan produk mereka pada akhir kitar hayat.
“Moratorium ini mesti hanya menjadi langkah pertama ke arah larangan kekal terhadap pembuangan sisa dan peralihan kepada masa depan yang benar-benar bebas sisa serta selamat untuk iklim,” katanya.
Pada 16 Jan lalau, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu mencadangkan moratorium berkenaan bagi menilai kesan ekonomi, alam sekitar dan penguatkuasaan berkaitan import sisa plastik dan e-waste.
Beliau juga berkata tiada keperluan untuk import berskala besar bahan-bahan tersebut.
Malaysia merupakan antara negara teratas yang mengimport e-waste sejak 2023, menurut laporan 2025 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.
Malaysia mula memperketat sekatan terhadap import sisa plastik bermula 1 Julai tahun lalu, dengan kebanyakan import kini dilarang kecuali yang melalui Institut Penyelidikan Standard dan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta sistem permit Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.