
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Hafizuddiean dan isteri Salwani Anuar akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.
Agensi antirasuah itu turut memaklumkan Hafizuddiean akan turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Jumaat ini.
“Salwani Anuar juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada 26 Jan,” katanya dalam kenyataan.
SPRM berkata pihaknya juga telah memperoleh izin mendakwa terhadap bekas panglima angkatan tentera Mohd Nizam Jaffar di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Mohd Nizam akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
“Satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada di peringkat akhir.
“Kertas siasatan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.