Kurang 10 akaun dibeku, operasi tak terjejas, kata IJM

Kurang 10 akaun dibeku, operasi tak terjejas, kata IJM

IJM keluar kenyataan susulan laporan SPRM beku 55 akaun bank dalam siasatan kes ubah RM2.5 bilion.

WISMA IJM BUILDING
IJM Corp Bhd tegaskan pihaknya beri kerjasama penuh dalam siasatan SPRM.
PETALING JAYA:
IJM Corp Bhd mengesahkan kurang 10 akaun banknya telah dibekukan untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Syarikat itu berkata, tindakan pembekuan tersebut hanya melibatkan bilangan ‘terhad’ akaunnya dan tidak menjejaskan operasi syarikat.

“Akaun yang terjejas terdiri daripada kurang 10 akaun bank milik IJM. Syarikat ingin menjelaskan bahawa langkah ini tidak menjejaskan operasi perniagaan harian IJM,” katanya dalam kenyataan.

“IJM memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa selaras dengan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa. Kami kekal komited untuk menegakkan standard tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang kukuh.”

Terdahulu, Berita Harian melaporkan SPRM menyerbu pejabat IJM dan membekukan 55 akaun bank melibatkan RM15.8 juta berhubung siasatan kes pengubahan wang haram RM2.5 bilion.

Agensi antirasuah itu dilaporkan menggeledah empat lokasi semalam, termasuk kediaman persendirian dan pejabat berkaitan syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri itu.

SPRM dilaporkan menyiasat IJM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan, dan pemilikan aset luar negara dianggarkan berjumlah RM2.5 bilion.

Kes ini dikatakan boleh menjejaskan cadangan Sunway Bhd mengambil alih IJM dalam tawaran mega tunai-saham bernilai lebih RM11 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.