SPRM dedah hingga 3,000 kontena e-waste diseludup

SPRM dedah hingga 3,000 kontena e-waste diseludup

Jumlah itu menunjukkan skala sebenar penyeludupan sisa elektronik yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan menyeluruh.

SPRM beri amaran kepada pihak berkuasa yang terlibat segera menghentikan pengimportan e-waste. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram, susulan risikan mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste diseludup ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, berkata jumlah itu menunjukkan skala sebenar penyeludupan sisa elektronik yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan menyeluruh.

“Jika tidak dibanteras secara tuntas, ia berpotensi menyebabkan pencemaran serius kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Khusairi berkata, syarikat terlibat dipercayai dimiliki warga asing dan mengimport sisa elektronik, plastik serta kertas untuk tujuan kitar semula.

“Komponen berharga seperti tembaga, aloi dan emas diambil, manakala baki sisa dilupuskan melalui pembakaran, penanaman atau pembuangan terus sehingga mencemarkan udara dan sumber air,” katanya.

Katanya, SPRM tidak menolak kemungkinan wujud perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu yang sepatutnya menghalang kemasukan sisa berkenaan.

Bagi menangani isu ini, mesyuarat petugas khas penguatkuasaan e-waste ditubuhkan dengan keanggotaan 12 agensi termasuk SPRM, Agensi Kawalan Penerimaan Sisa (AKPS), polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Petugas khas itu akan menilai undang-undang sedia ada serta memperketat operasi bagi menutup ruang penyeludupan di semua pintu masuk negara.

“Mesyuarat ini akan meneliti undang-undang khusus berkaitan e-waste dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan bagi memastikan penyeludupan dibanteras hingga ke akar umbi,” katanya.

Khusairi menegaskan, SPRM memandang serius isu ini dan memberi amaran kepada pihak berkuasa yang terlibat segera menghentikan pengimportan e-waste.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.