
Selepas jawatan presiden kekal disandang oleh Maximus Ongkili yang tidak dicabar, tumpuan pemilihan kali ini pastinya kepada jawatan nombor dua parti itu yang menyaksikan pertandingan antara dua watak penting dalam PBS.
Dua pemimpin berkenaan ialah naib presiden yang juga timbalan ketua menteri Joachim Gunsalam, dan setiausaha agungnya yang juga pembantu menteri pelancongan kebudayaan dan alam sekitar Joniston Bangkuai.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, siapa yang lebih layak memegang jawatan nombor dua parti berkenaan adalah subjektif kerana semua perwakilan mempunyai kriteria pemilihan tersendiri.

“Pemilihan PBS mencerminkan amalan demokrasi dalam parti tertua di Sabah itu. Joachim mempunyai kelebihan sebagai pemimpin lebih senior selain memegang jawatan timbalan ketua menteri tetapi cabaran Joniston juga tidak boleh dipandang remeh.
“Kita semua maklum pada pemilihan lepas Joniston bertanding jawatan sama, tetapi menarik diri pada saat akhir atas nasihat pucuk pimpinan parti bagi memberi laluan kepada Radin Malleh yang lebih senior untuk jawatan timbalan (presiden),” katanya kepada FMT.
Menurutnya, Joachim sudah pasti lebih lama terlibat dalam PBS. Bagaimanapun katanya, sebagai bekas wartawan serta ketua biro Sabah dan Sarawak sebuah akhbar nasional selain pernah memegang jawatan presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) selama 22 tahun, Joniston mempunyai kelebihan dan perhubungan awam yang lebih baik.
“Selain itu, kita juga melihat Joniston lebih menonjol pada PRN (pilihan raya negeri), apabila beliau lantang menyuarakan isu berkepentingan awam dalam media massa,” katanya.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara juga berpendapat bahawa Joachim dan Joniston masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, dengan penentu keputusan dalam persaingan berkenaan bergantung kepada kebijaksanaan dan keberanian perwakilan.
“Adakah mereka memilih faktor ‘seniority’ atau mereka sudah bersedia untuk memilih peralihan kepimpinan, itu dua persoalan yang mungkin akan menjadi penentu,” katanya.
Tony berkata, selain setia kepada parti, Joachim juga seorang yang sangat “tenang” serta sedia menerima apa jua pandangan dan cadangan yang memanfaatkan parti.
Pada masa sama katanya, Joniston yang juga ADUN Kiulu lebih menonjol dan lantang menyuarakan sesuatu isu yang memberi kelebihan kepadanya untuk membawa atau memperkenalkan idea serta pembaharuan kepada PBS.
“Namun persoalannya di sini ialah adakah para perwakilan sanggup ‘menggegarkan’ pemilihan parti itu nanti?” soalnya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PBS Julita Majungki berkata, daripada 164 calon yang bertanding kali ini, 71 daripadanya adalah muka baharu.
Katanya, jumlah muka baharu itu adalah tertinggi setakat ini dengan pemilihan sempena kongres perwakilan tahunan kali ke-36 dan 37 itu akan berlangsung di Dewan Hakka, bermula esok.