
Ketuanya Mustapha Sakmud berkata tuntutan itu sebaliknya sepatutnya menjadi asas penyatuan kerana melibatkan kepentingan dan masa depan rakyat Sabah secara keseluruhan.
“PKR Sabah juga berpendirian pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak (juga) harus menjadi punca perpecahan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan keputusan Upko keluar PH, beberapa hari selepas Presidennya Ewon Benedick meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ewon berkata beliau tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tuntutan hak 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.
Perkembangan itu menarik perhatian kerana berlaku ketika Sabah bakal menghadapi PRN pada 29 Nov depan.
AGC belum membuat sebarang keputusan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kabinet akan bermesyuarat esok berhubung perkara itu.
Anwar berkata beliau secara peribadi cenderung mahu kerajaan tidak meneruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan itu.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.