Apa yang sudah dicapai MPN, Najib soal Muhyiddin

Apa yang sudah dicapai MPN, Najib soal Muhyiddin

Menyedari bahawa Majlis Pemulihan Negara telah ditubuhkan hampir setahun lalu, Najib Razak mempersoalkan apakah sumbangannya kepada negara.

Najib Razak (kanan) mahu Muhyiddin Yassin mendedahkan jika beliau melakukan sesuatu untuk menangani bekalan ayam serta mengawal harga barangan makanan lain. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin menjelaskan apakah sumbangan sebenar majlis itu kepada pemulihan negara.

Sambil menyatakan bahawa majlis yang ditubuhkan hampir setahun lalu, Najib mempersoalkan pencapaian Muhyiddin sebagai pengerusi MPN sejak penubuhannya.

“Sudah berjaya kawal harga dan bekalan ayam serta harga makanan? Apa sebenarnya yang dipulihkan,” soalnya di Facebook.

Najib juga menyatakan bahawa jawatan pengerusi MPN itu bertaraf menteri.

Komen dibuat Najib susulan kenyataan Muhyiddin bahawa majlis itu akan terus berkhidmat sebagai badan penasihat kepada kerajaan, terutamanya mengenai isu-isu mengenai “kesejahteraan dan keselesaan” rakyat.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, berkata MPN baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan pakar ekonomi dan lain-lain mengenai isu inflasi, kenaikan harga makanan dan keselamatan makanan, lapor The Malaysian Insight.

Majlis itu dibentuk pada Julai 2021 bagi menggantikan jawatankuasa khas Kabinet yang ditugaskan menguruskan pelan pemulihan negara.

Antara tugasnya adalah memberi nasihat mengenai strategi pemulihan negara, memulihkan ekonomi, dan meningkatkan kehidupan rakyat berikutan pandemik Covid-19.

Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi MPN pada September tahun lalu, beberapa minggu selepas beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.