
Anwar Ibrahim menegaskan sudah tiba masa semua pihak menghentikan budaya ‘gaduh-gaduh politik’, dan tumpu pada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, Malaysia berada pada tahap di mana kekuatan ekonomi perlu jadi keutamaan kerajaan, bukannya perebutan kuasa yang melemahkan kestabilan pentadbiran.
“Kita sudah rugi banyak tahun, gaduh-gaduh politik tidak habis,” katanya dalam ucapan sempena sesi bersama Persatuan Industri Sabah, lapor Sinar Harian.
“Yang kita nak tolong ini orang meniaga dan rakyat kita. Itu fokus kita.”
Dalam pada itu, Anwar menegaskan hubungan erat antara kerajaan persekutuan dan Sabah penting bagi memastikan setiap dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, tanpa diganggu kepentingan politik sempit.
Anwar berkata, beliau tidak mahu perbezaan pandangan antara kerajaan negeri dan pusat dijadikan alasan untuk menimbulkan pergeseran politik.