
Katanya kepada FMT, kebanyakan Bumiputera terutamanya golongan B40, menganggap keistimewaan ini ‘hampir tidak wujud’.
Barjoyai berkata, walaupun sesetengah pihak masih berharap kerajaan akan datang mungkin benar-benar mengangkat peniaga kecil dan mikro Bumiputera, ramai kini melihat DEB dan dasar seumpamanya sebagai ‘perkataan tidak disenangi’ yang menjejaskan kredibiliti mereka sebagai usahawan.
Menurutnya, sejarah dasar pro-Bumiputera menjana keuntungan ekonomi untuk elit politik dengan majoriti Bumiputera masih terpinggir.
“Kebanyakan (Bumiputera) tidak pernah menikmati sebarang manfaat sebenar daripada dasar ini,” katanya. “Ia menjurus untuk lingkungan kecil kroni politik dan sekutunya. Akibatnya, ramai usahawan Bumiputera tidak ambil peduli DEB dan keistimewaan Bumiputera secara keseluruhannya.”
Sebaliknya, Barjoyai berkata, perniagaan Bumiputera seharusnya memberi tumpuan membina rangkaian sokongan berasaskan komuniti dan mengukuhkan kerjasama dalam ekosistem.
“Kemampanan jangka panjang memerlukan firma Bumiputera berkembang melangkaui perlindungan,” katanya sambil memberi peringatan pergantungan berterusan terhadap keistimewaan akan menimbulkan sikap mudah berpuas hati dan membantutkan dorongan menjadi lebih baik.
“Penghapusan keistimewaan Bumiputera akan meningkatkan imej dan status komuniti di peringkat antarabangsa, meletakkan mereka sebagai usahawan berwibawa.
“Perjuangan untuk hak Bumiputera bukan mengenai layanan istimewa, tetapi untuk memastikan mereka tidak dipinggirkan — sesuatu yang telah berlaku di bawah dasar kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tertentu.”
Beliau memberi maklum balas terhadap kebimbangan dibangkitkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat boleh menjejaskan dasar tindakan afirmatif untuk Bumiputera.
Barjoyai berkata, liberalisasi perdagangan boleh menguntungkan perniagaan Bumiputera sekiranya disokong dasar yang betul.
Beliau berkata, dengan sokongan bertepatan — termasuk latihan, insentif R&D, dan memudah cara eksport — firma Bumiputera mampu menggunakan liberalisasi perdagangan sebagai landasan pertumbuhan.
Sambil memberi amaran dasar perlindungan berdekad lamanya menyebabkan kebergantungan dan tidak berkembang, Barjoyai berkata persaingan lebih besar akan mengukuhkan ekosistem perniagaan kerana memacu produktiviti, mempromosikan amalan terbaik, serta meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban — dengan syarat firma mempunyai akses mencukupi kepada modal, bakat, dan teknologi.
“Kebanyakan perlindungan tarif di Malaysia sebenarnya menguntungkan perniagaan bukan Bumiputera,” katanya. “Perlindungan berlebihan ini membawa kepada sikap mudah berpuas hati, pergantungan berlebihan kepada kontrak kerajaan, inovasi terhad, lemah mengambil risiko, dan penjenamaan antarabangsa yang teruk.”
“Untuk berkembang maju secara global, semua firma Malaysia mestilah tangkas, cekap, dan menumpukan pelanggan — kualiti jarang terbentuk dalam persekitaran terlalu dilindungi,” katanya.