
Ong Kian Ming berkata, di bawah perjanjian itu, Malaysia harus mendapatkan pembiayaan dan pelaburan daripada AS dalam sektor seperti mineral kritikal dan penjanaan tenaga.
“Malaysia juga perlu meneroka peluang dengan syarikat dari negara lain yang boleh menyediakan teknologi dan nilai tambah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Ong itu susulan dakwaan pembangkang bahawa perjanjian tersebut menjejaskan kedaulatan Malaysia. Terdapat juga persoalan mengenai syarat bahawa Malaysia perlu ‘mengguna pakai atau mengekalkan’ sebarang larangan atau sekatan dikenakan AS terhadap negara ketiga yang dianggap mengancam keselamatan ekonomi atau keselamatan negara mereka.
Jabatan Peguam Negara kemudiannya berkata kedaulatan dan kepentingan nasional Malaysia kekal dilindungi sepenuhnya, manakala duta AS ke Malaysia berkata perjanjian itu menyediakan hubungan perkongsian yang lebih seimbang antara kedua-dua negara.
Ong berkata AS tidak mungkin akan menamatkan perjanjian tersebut, yang dirujuk sebagai ART, sekiranya Malaysia gagal menyelaraskan dasar-dasarnya dengan kepentingan Washington.
Katanya, dasar-dasar AS dalam pelbagai perkara kini berubah-ubah kerana ia banyak ditentukan ‘berdasarkan kehendak dan kecenderungan’ Presiden Donald Trump.
Selain kecenderungan Trump terhadap tarif, Ong berkata presiden itu telah beberapa kali berubah pendirian mengenai hubungan dengan China, Rusia, Kesatuan Eropah dan Jepun dalam beberapa isu.
“Tanpa kestabilan dasar, adalah sukar untuk meminta ‘penyelarasan’ dasar,” katanya.
Beliau turut berkata Malaysia bukan pemain yang cukup penting di pentas antarabangsa untuk membolehkan AS memberi pengaruh dasar khusus berkaitan hal-hal bernilai ekonomi dan strategik.
Katanya, Trump akan memfokuskan kepada ‘kuasa besar’ seperti China, India, Rusia, Brazil dan Kesatuan Eropah, bukan Asia Tenggara.
Ong berkata Trump akan mengingati Malaysia sebagai negara di mana beliau menari bersama sekumpulan penghibur semasa ketibaannya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah ‘seorang yang sangat baik’.
“Dalam hal lain, ia akan diserahkan kepada rundingan di peringkat kerja, di mana kedua-dua pihak akan mencari ruang untuk mencapai kata sepakat dalam beberapa bidang dan kemampuan untuk tidak bersetuju dalam perkara lain, tanpa mengancam penamatan perjanjian itu,” katanya.