MoF fokus pertumbuhan berasaskan rakyat, reformasi untuk pacu ekonomi

MoF fokus pertumbuhan berasaskan rakyat, reformasi untuk pacu ekonomi

Tadbir urus lebih kukuh dan projek keperluan rakyat seperti baik pulih infrastruktur akan membentuk hala tuju pertumbuhan negara, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Projek mega seperti Menara Merdeka 118 banyak tertumpu di kawasan bandar, dengan kesan limpahan kecil kepada luar bandar. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Malaysia perlu mengutamakan projek berasaskan rakyat, pembaharuan fiskal dan tadbir urus lebih baik berbanding projek mega, bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, Belanjawan 2026 adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk menyusun semula hala tuju ekonomi negara.

Katanya, hasrat Malaysia mencapai taraf negara berpendapatan tinggi perlu diimbangi dengan realiti cabaran semasa.

“Bagaimana kita boleh bercakap tentang menjadi negara maju berpendapatan tinggi jika perkara asas pun belum kita betulkan?” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

Daripada menumpukan dana kepada projek mega menelan kos besar, kerajaan kini memberi fokus kepada inisiatif dekat dengan rakyat seperti membaiki jalan, pasar dan sekolah.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat, malah membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor kecil di seluruh negara.

“Kita masih beri tumpuan kepada perkara asas seperti menambah peruntukan penyelenggaraan jalan bagi membaiki jalan berlubang.

“Tumpuan kepada perumahan kos rendah juga adalah usaha untuk memenuhi keperluan rakyat biasa,” katanya.

“Dan kerana projek-projek ini melibatkan kontraktor tempatan, ia turut memberi kesan berganda kepada ekonomi setempat,” jelasnya.

Sebelum ini, projek-projek mega sering digunakan untuk merangsang ekonomi. Namun, kebanyakannya tertumpu di bandar dan memberi kesan limpahan ekonomi terhad kepada kawasan luar bandar.

Dengan ekonomi global dijangka perlahan pada 2026, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang negara supaya pertumbuhan dapat dirasai semua lapisan rakyat.

Johan berkata, walaupun berdepan cabaran global, asas ekonomi Malaysia masih kukuh.

Beliau berkata kedudukan kewangan negara diperkukuh melalui reformasi fiskal, termasuk pengurangan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan dan penguatkuasaan cukai yang lebih tegas.

“Saya tidak ingat pentadbiran lain yang menyemak begitu banyak subsidi,” katanya merujuk penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, serta pelaksanaan cukai keuntungan modal dan cukai dividen.

“Inilah tanda kesungguhan terhadap reformasi fiskal.”

Dari segi tadbir urus, Akta Perolehan telah diluluskan bagi memperketat kawal selia perbelanjaan kerajaan.

Parlimen juga melaksanakan pembaharuan seperti sesi soal jawab Perdana Menteri dan lebih banyak jawatankuasa pilihan.

Selain itu, kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara turut dipertingkat untuk menjejak penggunaan dana awam dengan lebih menyeluruh.

“Ia mengenai memperkukuh tadbir urus supaya pembangunan negara dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dari sudut kutipan hasil, kerajaan kini lebih memberi tumpuan kepada pematuhan cukai berbanding memperkenalkan cukai baharu yang membebankan rakyat.

Sebagai contoh, pelaksanaan e-invois bertujuan memastikan mereka dalam ekonomi gelap juga menyumbang kepada hasil negara.

“Dengan e-invois, kita memastikan mereka yang sepatutnya membayar cukai akan mula membayar. Ini bukan sekadar reformasi fiskal, tetapi reformasi tadbir urus,” katanya.

Johan berkata pembaharuan ini sejajar dengan tiga tonggak Ekonomi Madani: memperkukuh tadbir urus dan kestabilan fiskal, memacu pertumbuhan melalui transformasi, dan meningkatkan taraf hidup rakyat supaya manfaatnya dinikmati bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.