Kerajaan gagal batal saman ahli perniagaan cabar undang-undang ekstradisi

Kerajaan gagal batal saman ahli perniagaan cabar undang-undang ekstradisi

Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua memfailkan saman pada September tahun lalu untuk mencabar Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi, dengan mendakwa bahawa peruntukan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa tuntutan mahkamah itu bukan satu kes yang jelas untuk dibatalkan dan memerintahkan pendengaran penuh.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan menteri dalam negeri dan kerajaan bagi membatalkan saman dua ahli perniagaan dari Perak untuk mempersoalkan keabsahan undang-undang ekstradisi.

Dalam prosiding secara dalam talian, hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berpendapat bahawa tuntutan mahkamah itu bukanlah satu kes yang jelas untuk dibatalkan dan memerintahkan ia dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua memfailkan saman itu pada September tahun lalu untuk mencabar Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi, dengan mendakwa bahawa peruntukan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memohon untuk mengekstradisi mereka bagi menghadapi pertuduhan di Columbia kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman antarabangsa bertujuan mencuri identiti dan teknologi permainan video, selain menanam “ransomware” serta mengintip aktivis Hong Kong.

Lima warga China turut didakwa bersama-sama mereka.

Menteri dalam negeri dan kerajaan mendakwa bahawa pemfailan saman itu adalah percubaan untuk menangguhkan prosiding ekstradisi mereka di Mahkamah Sesyen.

Ia berkata, keabsahan Seksyen 4 dan 20 harus dibangkitkan ketika pendengaran ekstradisi mereka.

Ling dan Wong yang ditahan oleh Bukit Aman pada 14 Sept 2020, menafikan bahawa saman itu adalah cubaan untuk menangguhkan ekstradisi mereka.

Mahkamah Sesyen telah mendengar hujah daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam ahli perniagaan tahun lepas mengenai kes ekstradisi dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan dan menteri dalam negeri manakala Tey Jun Ren mewakili Ling dan Wong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.