Trump seru mansuh Obamacare, mahu dana kesihatan salur terus kepada rakyat

Trump seru mansuh Obamacare, mahu dana kesihatan salur terus kepada rakyat

Presiden AS berkata Obamacare merupakan sistem kesihatan terburuk di dunia.

doctor doktor
Presiden AS Donald Trump, berkata Obamacare gagal perbaiki sistem penjagaan kesihatan negara. (Gambar Rawpixel)
ISTANBUL:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa senator Republikan memansuhkan program Obamacare dan menyalurkan semula dana diberikan kepada syarikat insurans kesihatan ‘terus kepada rakyat’.

Menurut Anadolu Ajansi, Trump dalam hantaran di platform media sosialnya Truth Social mengkritik program insurans diperkenalkan bekas Presiden Barack Obama, dengan mendakwa ia gagal memperbaiki sistem penjagaan kesihatan negara.

Beliau mencadangkan kepada senator Republikan agar ‘ratusan bilion dolar yang kini disalurkan kepada syarikat insurans bagi menyelamatkan sistem kesihatan di bawah Obamacare, disalurkan terus kepada rakyat supaya mereka dapat membeli perkhidmatan kesihatan sendiri yang jauh lebih baik dan masih mempunyai lebihan wang’.

“Dengan kata lain, ambil daripada syarikat insurans besar yang tamak, berikan kepada rakyat, dan hapuskan perbelanjaan bagi sistem kesihatan terburuk di dunia — Obamacare,” katanya.

Langkah itu menandakan usaha terbaharu Trump menghidupkan semula kempen lamanya menentang Akta Penjagaan Mampu Milik (Affordable Care Act) yang diluluskan pada 2010 semasa pentadbiran Obama.

Sementara itu, senator Demokrat menjadikan subsidi insurans Obamacare sebagai isu utama dan enggan menyokong rang undang-undang pembukaan semula kerajaan yang diluluskan Dewan Perwakilan selagi isu subsidi — yang dijangka meningkat awal tahun depan — tidak ditangani.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika kesan penutupan kerajaan semakin dirasai, dengan rakyat AS berdepan gangguan di lapangan terbang dan ratusan penerbangan dibatalkan akibat kekurangan kakitangan pengawal trafik udara yang masih belum menerima gaji sepanjang tempoh penutupan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.