
Pengarahnya, Woon King Chai, berkata berdasarkan sesi libat urus bersama Menterinya Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat lalu, terdapat beberapa kekurangan penting dari segi prosedur dan analisis yang masih belum diselesaikan.
Woon berkata, kementerian perlu memperjelaskan takrifan ‘syarikat milik kerajaan (SOE)’ di bawah perjanjian yang dimeterai semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan lalu.
Katanya, penjelasan itu penting bagi memahami implikasinya terhadap pembangunan vendor, kandungan tempatan serta program tindakan afirmatif yang dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma pelaburan milik kerajaan.
Beliau turut menjelaskan, berdasarkan sesi libat urus bersama Miti, masih tidak jelas sama ada istilah ‘SOE’ itu hanya merujuk kepada entiti milik kerajaan persekutuan atau turut melibatkan syarikat milik kerajaan negeri.
Tambahnya, ketika ditanya mengenai kemungkinan pindaan terhadap perjanjian pada masa hadapan, Miti memaklumkan bahawa ruang perbincangan dengan AS memang wujud, namun tidak menghuraikan bagaimana Malaysia boleh bergerak melangkaui proses ratifikasi yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
Menurutnya, Tengku Zafrul turut mengesahkan bahawa tiada kajian atau unjuran impak ekonomi terperinci dilakukan terhadap perjanjian itu selain daripada penilaian umum di peringkat tinggi.
“Menteri juga mengesahkan analisis Insap bahawa keuntungan Malaysia di bawah perjanjian ini adalah sederhana, iaitu sekitar RM21.2 bilion (USD5.2 bilion) atau 11–12% daripada jumlah eksport Malaysia ke AS.
“Sebaliknya, eksport AS bernilai antara RM54.3 bilion hingga RM75.2 bilion (USD13–18 bilion) — bersamaan 65–90% daripada perdagangan AS dengan Malaysia — akan menikmati akses istimewa atau dipermudahkan,” katanya.
Insap mencadangkan agar Miti membentangkan atau menerbitkan penilaian impak ekonomi dalaman yang digunakan untuk membentuk pendirian Malaysia supaya pihak berkepentingan dan Ahli Parlimen dapat memahami andaian serta pertukaran dasar yang terlibat.
Institut itu juga menggesa Miti menubuhkan mekanisme semakan telus bersama industri serta wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengenal pasti klausa dalam perjanjian yang perlu dipinda atau diperjelaskan semasa pelaksanaannya.
Kebimbangan industri
Woon berkata, Insap turut menganjurkan sesi meja bulat bersama wakil sektor awam dan swasta, yang mana peserta menyuarakan kebimbangan mengenai manfaat bersih yang terhad kepada Malaysia di bawah perjanjian itu memandangkan lebih 60% eksport Malaysia ke AS sudah pun bebas cukai sebelum ART.
“Manfaat tarif baharu hanya memberi kesan kepada sektor khusus seperti getah, koko, produk berasaskan minyak sawit dan farmaseutikal,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa terdapat kebimbangan mengenai keperluan ketelusan dalam pengesanan eksport serta mekanisme penguatkuasaan, terutamanya kerana semua sijil asal akan dikeluarkan hanya oleh Miti.
“Walaupun sektor semi konduktor tidak termasuk dalam perjanjian ini, beberapa peserta menyatakan bahawa keputusan kerajaan menandatangani perjanjian tersebut mungkin dipacu oleh keinginan untuk memperoleh pengecualian tarif masa depan bagi sektor itu melalui hubungan baik dan penjajaran dengan kepentingan AS,” katanya sambil menambah bahawa kebimbangan ini telah disampaikan kepada Miti.