Mahkamah arah lelaki mengamuk di tengah lebuh raya dirujuk ke Hospital Bahagia

Mahkamah arah lelaki mengamuk di tengah lebuh raya dirujuk ke Hospital Bahagia

Tertuduh mengaku bersalah atas tiga tuduhan dan sewaktu pertuduhan dibacakan, dia kelihatan bercakap seorang diri dalam keadaan tidak stabil dan diminta menenangkan diri.

Zainordin Mohamed (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini untuk menghadapi tiga pertuduhan. (Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini mengamuk di Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kangsar, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, untuk tempoh 30 hari bagi pemantauan dan pemeriksaan psikiatri.

Hakim Rohaida Ishak mengeluarkan perintah itu terhadap Zainordin Mohamed, 36, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad supaya tertuduh dihantar ke hospital berkenaan bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Asmaniza berkata, Zainordin tidak berada dalam keadaan waras sewaktu tempoh penahanan remannya, justeru perlu menjalani pemeriksaan serta pemeriksaan di hospital tersebut.

Zainordin mengaku bersalah atas pertuduhan itu serta dua lagi pertuduhan dan sewaktu pertuduhan dibacakan kepadanya, dia kelihatan bercakap seorang diri dalam keadaan tidak stabil dan diminta menenangkan diri.

Bagi pertuduhan pertama, Zainordin didakwa melakukan khianat, iaitu menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara tidak kurang setahun atau lebih lima tahun atau denda dan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Zainordin sebagai pemandu kereta Toyota Vios, didakwa memberhentikan kenderaan itu di lorong kanan dalam kedudukan yang mungkin menyebabkan halangan kepada pengguna lain.

Pertuduhan mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak kurang setahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di KM253 Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kangsar pada 6.09 petang 12 Jun lepas.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah jenis ganja THC (Tetra Hydrocannibol) pada dirinya di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah Kuala Kangsar pada 3.40 petang 14 Jun lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Hakim menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula semua kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.