Kerajaan stabil sering disalah erti galak authoritarianisme, kata Dr M

Kerajaan stabil sering disalah erti galak authoritarianisme, kata Dr M

Bercakap dalam kuliah anjuran sebuah parti politik di Indonesia, bekas perdana menteri itu berkata pihak yang tewas dalam pilihan raya tidak boleh melakukan aksi politik menggugat kestabilan kerajaan dipilih dalam pilihan raya.

Dr Mahathir Mohamad menyampaikan kuliah umum anjuran Parti Nasional Demokrat (Nasdem) Indonesia, di Jakarta, hari ini. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Sebuah kerajaan stabil perlu bagi pemimpin memajukan negaranya meski pun sering disalah-ertikan sebagai menggalak kepada authoritarianisme dan pemerintahan diktator, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menyampaikan kuliah umum anjuran Parti Nasional Demokrat (Nasdem) Indonesia, hari ini, Mahathir berkata: “Demokrasi yang dipegang perlu difahami sebagai menerima keputusan majoriti rakyat dan yang tewas menghormati keputusan itu dan tidak melakukan aksi-aksi politik yang menyebabkan ketidakstabilan kepada kerajaan.”

Katanya, kejayaan sesebuah negara boleh dicapai apabila terdapat kepimpinan baik dan tidak henti memikirkan nasib rakyat, melangkaui nasib diri dan keluarga.

Mahathir berkata, pemimpin yang mahu menerajui kepimpinan nasional juga perlu mempunyai jati diri yang tinggi dan berpegang kepada nilai-nilai murni.

Beliau tiba di Jakarta tengah hari tadi untuk lawatan singkat atas undangan Ketua Umum Nasdem Surya Paloh. Nasdem merupakan antara parti dalam gabungan pemerintahan Presiden Joko Widodo.

Mahathir berkata, beberapa negara yang demokrasinya jauh lebih matang telah terpesong daripada aspirasi nasional, apabila pemimpin-pemimpinnya menjadi dalang untuk melakukan jenayah perang terhadap negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.