Belum ada jangka waktu kuat kuasa mansuh hukuman mati mandatori, kata menteri

Belum ada jangka waktu kuat kuasa mansuh hukuman mati mandatori, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata banyak perkara perlu diperhalusi termasuk cadangan menubuhkan satu tribunal untuk mengkaji kes yang sudah dijatuhi hukuman itu.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata persetujuan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah. (Gambar Reuters)
KUCHING:
Kerajaan belum menetapkan sebarang jangka waktu bagi menguatkuasakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang telah dipersetujui.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata banyak perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu termasuk cadangan menubuhkan satu tribunal untuk mengkaji kes yang sudah dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah.

“Dari sudut ke perlembagaannya, perlu diteliti oleh pihak peguam negara dan kementerian saya kerana kalau bercanggah dengan perlembagaan, ia tidak dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataan medianya hari ini yang memaklumkan persetujuan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Wan Junaidi semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

Wan Junaidi juga berkata, kerajaan secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.

Jawatankuasa itu, yang diketuai bekas ketua hakim negara Richard Malanjum, dianggotai pakar perundangan seperti bekas hakim besar malaya, bekas peguam cara negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi pengajian awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

Beliau berkata, beberapa seksyen dalam akta yang memperuntukkan hukuman mati mandatori serta seksyen lain yang berkaitan juga perlu diperhalusi sebelum pemansuhannya dapat dilaksanakan.

Wan Junaidi berkata, semua kes semasa yang melibatkan mahkamah menjatuhi hukuman mati mandatori namun belum dilaksanakan hukumannya akan ditangguh sehingga pemansuhan itu dikuat kuasa.

“Semua ini kena dikaji satu persatu dan apakah jenis hukuman yang perlu kita buat. Itu tugas saya sekarang sebab kerajaan sudah luluskan menurunkan hukuman ini,” katanya yang berharap kajian lanjut akan dilaksana kerana kelulusan pemansuhan itu mendapat sokongan penuh semua pihak di negara ini.

Beliau berkata, definisi hukuman mati mandatori perlu difahami kerana terdapat beberapa akta yang tidak memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman lain.

“(Apabila) hukuman mati mandatori ini dihapuskan, kita akan menyerahkan kembali kepada hakim sama ada (untuk menjatuhkan) hukuman mati atau hukuman lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.