
Beliau berkata, faktor usia bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas sebarang tindakan dan pertuduhan boleh dibuat di mahkamah berasingan, bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.
“Bukannya (pelaku) bawah 18 tahun boleh bebas jika dia melakukan jenayah. Ini banyak orang salah faham.
“Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Hukuman tetap dikenakan, tetapi mahkamah (untuk prosiding pertuduhan dan perbicaraan kes terbabit) mungkin berlainan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung empat pelajar disyaki terbabit kes rogol seorang pelajar Tingkatan 3, dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 3 Nov ini.
Fadhlina dilaporkan berkata, keputusan itu bagi memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu walaupun mungkin terpaksa berdepan tindakan undang-undang.
Empat pelajar Tingkatan 5 yang juga calon SPM direman enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu.