NGO kritik cadangan kerajaan kaji reka bentuk insfrastruktur anti gelandangan

NGO kritik cadangan kerajaan kaji reka bentuk insfrastruktur anti gelandangan

Yellow House KL dan Yayasan Chow Kit berkata ia adalah pembaikan secara luaran yang tidak menangani punca kemiskinan.

homeless gelandangan
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL sedang mengkaji infrastruktur yang digunakan di London, Tokyo, dan Singapura yang direka untuk memastikan ruang awam ‘mesra pengguna sambil tidak menggalakkan aktiviti gelandangan berterusan.
PETALING JAYA:
Dua NGO mengkritik kerajaan berhubung rancangannya mengkaji reka bentuk infrastruktur bagi menghalang golongan gelandangan daripada tidur di tempat awam, dengan mengatakan ia menyembunyikan kemiskinan dan bukannya menanganinya.

Yellow House KL, sebuah NGO yang fokus meningkatkan kehidupan golongan terpinggir, berkata pendekatan itu berisiko menjadi simbolik dan bersifat eksklusif, sekali gus bercanggah dengan matlamat Malaysia untuk mewujudkan bandar yang inklusif dan mampan.

“Jika bandar hanya memasang seni bina yang bersifat menghalang tanpa menangani punca asas, ia hanya menguruskan apa yang kelihatan, bukan membasmi gelandangan.

“Itu menjadikan ‘placemaking’ sebagai ruang bersih untuk sesetengah pihak, bukannya tempat bermaruah untuk semua,” kata pengasas NGO itu, Shyam Priah Marimuthu kepada FMT.

Shyam menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk beralih daripada “menguruskan simptom” kepada menangani punca, dengan memperluas perumahan mampu milik dan selamat serta mengintegrasikannya dengan sokongan kesihatan mental, pekerjaan dan sosial.

Menurutnya, Malaysia sebaliknya boleh mempertingkatkan inisiatif berasaskan dasar ‘Housing First’ dan mengembangkan rangkaian mikro-hub yang menggabungkan tempat perlindungan dengan perkhidmatan sokongan menyeluruh.

Dasar Housing First merupakan pendekatan yang mengutamakan pemberian perumahan segera dan kekal kepada gelandangan tanpa prasyarat.

Dasar ini berasaskan kepercayaan bahawa perumahan stabil adalah hak asasi manusia dan keperluan asas yang mesti dipenuhi sebelum cabaran lain seperti kesihatan mental, penyalahgunaan bahan, pekerjaan atau penyepaduan semula sosial — dapat ditangani dengan berkesan.

Shyam berkata sebelum pandemik Covid-19, NGO tersebut menjalankan mikro-hub Housing First berskala kecil kerana kekangan dana, tetapi ia berkesan.

“Orang ramai menerima Housing First, diikuti bantuan untuk mendapatkan pekerjaan, penjagaan kesihatan dan bantuan guaman. Dalam tempoh empat bulan, 85% daripada 138 klien kami berjaya mendapat serta mengekalkan pekerjaan. Ia mengubah model daripada ‘buktikan anda layak dapat rumah’ kepada ‘anda sudah ada rumah — kini kami bantu anda membina semula kehidupan’,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL sedang mengkaji infrastruktur serupa yang digunakan di London, Tokyo dan Singapura — reka bentuk untuk memastikan ruang awam mesra pengguna sambil menghalang aktiviti gelandangan berterusan.

Beliau berkata pendekatan itu juga melibatkan reka bentuk bangku awam, contohnya yang tidak sesuai untuk mereka berbaring, pencahayaan yang optimum serta susun atur landskap yang menggalakkan penggunaan sementara dan juga selamat.

Zaliha turut mencadangkan dasar yang hanya membenarkan agihan makanan kepada gelandangan dalam bentuk pek retort yang lebih tahan lama.

Namun pengasas Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin berkata ia lebih banyak bergantung kepada bagaimana DBKL merancang untuk melaksanakan dasar infrastruktur tersebut.

Beliau memberi amaran jika penekanan beralih ke arah ‘seni bina anti-gelandangan’ dan peraturan pemberian makanan yang menganggap gelandangan sebagai gangguan awam, ia akan mengukuhkan pengecualian dan bukannya menggalakkan keterangkuman.

“Sesetengah aspek, seperti penyelarasan lebih baik lokasi pemberian makanan, mungkin praktikal. Tetapi secara keseluruhan, pelan itu kelihatan bertujuan menguruskan apa yang dapat dilihat daripada mengurangkan gelandangan — lebih kepada usaha publisiti daripada penyelesaian,” kata Hartini.

Beliau turut berkata cadangan seperti lokasi pemberian makanan yang tetap dan pendaftaran NGO serta pempengaruh yang membantu gelandangan hanya menangani aspek kebersihan dan imej bandar tanpa fokus sewajarnya terhadap perumahan, kesihatan dan hak asasi manusia.

Berdasarkan pengalamannya di pusat perlindungan di New York, beliau menambah bahawa reka bentuk bandar ‘defensif’ dan peraturan pemberian makanan yang ketat sering memindahkan orang ke kawasan lebih berisiko serta menyukarkan kerja capaian.

“Pada asasnya, infrastruktur anti-gelandangan menyembunyikan kemiskinan dan berisiko menjenayahkannya. Kuala Lumpur tidak sepatutnya menganggap gelandangan sebagai sesuatu yang perlu dibersihkan, tetapi sebagai keadaan yang perlu difahami dan diselesaikan — dengan belas ihsan dan dasar berasaskan bukti,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.