Lelaki dituduh sebabkan kematian wanita Jepun

Lelaki dituduh sebabkan kematian wanita Jepun

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 Okt 2024.

Tertuduh Hadzarshah Abu Hassan Al Sha’ari mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pemandu bas persiaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang pelancong wanita warga Jepun, tahun lalu.

Tertuduh, Hadzarshah Abu Hassan Al Sha’ari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang kini bekerja sebagai pemandu lori didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian penumpang bas, Michiyo Saito.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 230.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Larut Matang dan Selama pada 1.30 tengah hari, 24 Okt 2024, lapor Utusan Malaysia.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman, tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh sebelum ini gagal hadir ke mahkamah selain tidak memberi kerjasama kepada polis.

“Kes itu turut mendapat perhatian kerajaan persekutuan dan Jepun memandangkan ia melibatkan kematian warga negara tersebut, selain kebimbangan tertuduh akan melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Mukmin Aimi Azmi, yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dikenakan dengan alasan lelaki itu tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung isteri dan lima anak masih bersekolah.

Katanya, kegagalan tertuduh hadir dalam prosiding pendakwaan kes Mei lalu disebabkan masalah kesihatan akibat kemalangan dialaminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.