10 hakikat perlu ditelan selepas keputusan akhir Fifa

10 hakikat perlu ditelan selepas keputusan akhir Fifa

Keputusan Fifa bukan sekadar menolak rayuan tetapi membongkar satu era penipuan dalam bola sepak Malaysia.

Malaysia pernah dilihat sebagai sebuah negara bola sepak sedang meningkat namun kini tenggelam bawah bayangan penipuan. (Gambar Malaysia NT)
PETALING JAYA:
Keputusan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan saja menutup satu kes, tetapi membuka aib lebih besar.

Fifa tidak hanya menyokong keputusan asalnya; ia sekali lagi menegaskan FAM terbabit dalam pemalsuan dokumen dan menipu sistem bagi menaturalisasikan pemain untuk pasukan negara.

Isu bermula sebagai hal ehwal bola sepak kini menjadi isu maruah negara.

FAM mungkin masih boleh membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), namun ‘mahkamah rakyat’ sudah pun menjatuhkan hukuman: Kepercayaan telah hilang.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula dijangka membuat keputusan sama ada kemenangan Malaysia ke atas Vietnam dan Nepal dibatalkn atau sebaliknya. Jika itu berlaku, seluruh kempen kelayakan Piala Asia 2027 mungkin terpadam.

Semuanya berlaku ketika Malaysia baru sahaja mendapat pujian antarabangsa sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-47. Kini, reputasi itu terjejas teruk.

Berikut 10 hakikat yang perlu Malaysia terima.

1. Keputusan muktamad

Fifa mengesahkan dokumen menaturalisasikan tujuh pemain termasuk pasport dan rekod keturunan adalah palsu. Ketujuh-tujuh pemain itu kini digantung setahun daripada semua aktiviti bola sepak di seluruh dunia. Tempoh 21 hari untuk merayu ke CAS hanyalah prosedur, bukan peluang.

2. ‘Terkejut’ bukan alasan

FAM mendakwa terkejut. Tetapi penyiasatan Fifa mengambil masa berbulan-bulan dan meneliti setiap dokumen. Jadi dakwaan terkejut hanya menampakkan sama ada FAM tidak jujur atau cuba menutup kesalahan.

3. Bukan silap urus tetapi masalah moral

Dokumen negara seperti MyKad dan pasport diluluskan berdasarkan maklumat palsu. Ketika ramai kanak-kanak di Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan menunggu bertahun-tahun untuk kad identiti, tujuh pemain luar boleh mendapatnya dalam masa singkat. Itu bukan kelemahan sistem — itu pengkhianatan.

4. Aib lebih besar daripada bola sepak

Penipuan ini melalui sistem rasmi kerajaan: Jabatan Pendaftaran Negara, imigresen dan kementerian berkaitan. Bila pemalsuan boleh lepas dalam sistem rasmi, isu ini bukan lagi berkat hal ehwal sukan — ia soal integriti negara.

5. Status kewarganegaraan dipersoalkan

Jika dokumen asal palsu, adakah kewarganegaraan mereka sah? Pasport boleh dibatalkan. Malaysia tidak benarkan dua kewarganegaraan — jadi apa status mereka sekarang? Tiada kementerian memberi jawapan. Diam bukan penyelesaian.

6. Siapa bayar?

Menaturalisasikan pemain bukan percuma. Ia melibatkan yuran, orang tengah, dan mungkin ‘urusan dipercepatkan’. Adakah wang rakyat terlibat? SPRM perlu menyiasat aliran wang. Jika dana awam digunakan untuk menipu, itu jenayah.

7. AFC tentukan hukuman bola sepak

AFC boleh membatalkan kemenangan Malaysia. Ini boleh menghancurkan keseluruhan kempen kelayakan Piala Asia. Persoalannya bukan apakah Malaysia akan dihukum, tetapi kesan hukuman itu.

8. Penggantungan seorang pegawai tidak mencukupi

Penggantungan Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman mungkin kelihatan seperti tindakan tegas. Namun ia tampak seperti mencari kambing hitam. Penyiasatan mesti mengenal pasti siapa dalang sebenar.

9. Siasatan diperlukan

Kes ini memerlukan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bukan jawatankuasa dalaman. Semua kementerian terbabit perlu menjelaskan bagaimana pemalsuan boleh diluluskan. Rakyat berhak tahu siapa yang terbabit dan dilindungi.

10. Kredibiliti Malaysia berada di hujung tanduk

Bola sepak Malaysia pernah dilihat sebagai pasukan yang sedang meningkat dan berdisiplin. Kini imej itu runtuh. Pemain boleh kembali bermain selepas hukuman tamat. Tetapi maruah negara mengambil masa jauh lebih lama untuk dipulihkan.

Persoalannya sekarang apakah Malaysia berani membersihkan rumah sendiri — atau memilih untuk terus menutup malu?

Dunia sedang memerhati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.