
Ahli Parlimen Machang itu mendakwa bahawa wang ditawarkan untuk mempengaruhi undi dalam pemilihan tersebut, serta seorang pemimpin memberitahunya bahawa beliau dipujuk dan ditawarkan bayaran untuk menukar undi, tetapi beliau menolak.
Wan Fayhsal juga mendakwa pengiraan akhir kira-kira 1,400 undi dalam pemilihan itu ditangguhkan selama beberapa hari, dan melaporkan perkara itu melalui saluran dalaman selaku ketua Pemuda yang akan tamat tempoh berkhidmat.
Menurut Wan Fayhsal, isu itu hanya dibincangkan oleh pimpinan tertinggi parti dan tidak dirujuk kepada agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya membuat laporan dalaman mengenai perkara ini… saya akhirnya dikenakan tindakan,” katanya dalam audio siar ‘Keluar Sekejap’, dihoskan oleh bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Wan Fayhsal menyifatkan episod itu sebagai sebahagian daripada keruntuhan kepercayaan yang lebih meluas dalam Bersatu, yang kemudian menyaksikan beliau digantung dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat.
Mereka telah membuat rayuan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan ke atas mereka.
FMT sedang mendapatkan komen pemimpin dan Lembaga disiplin Bersatu.
Pada 14 Okt, Lembaga Disiplin Bersatu berkata tindakan diambil terhadap Wan Fayhsal dan Wan Saiful atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan ahli.
Ini membawa kepada meningkatnya ketegangan dalam Bersatu, di sebalik dakwaan perbalahan antara Presiden Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Hamzah Zainudin.
Wan Saiful menuduh beberapa individu yang rapat dengan Presiden Muhyiddin Yassin merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin, dan menamakan Setiausaha Agung Azmin Ali dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.
Dalam pada itu, lembaga disiplin juga memanggil beberapa pemimpin lain untuk pendengaran, termasuk Hamzah dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.
Saifuddin juga menggesa Muhyiddin meletak jawatan.