
Baginda sebaliknya berpandangan badan induk bola sepak dunia itu mungkin akan meringankan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan terbabit.
“Saya berasa Fifa tidak akan tukar keputusan, cuma kalau mereka tukar pun, mungkin mereka akan ringankan sedikit hukuman tersebut.
“Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat. Berapa lama tempoh penggantungan pemain-pemain itu, kita belum tahu,” titah baginda pada sidang media di Subang Jaya.
Tunku Ismail turut menegaskan, apa jua keputusan yang bakal diumumkan pada 30 Okt ini, FAM bersama barisan peguam perlu terus berjuang dalam proses rayuan dan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya perlu.
Terdahulu, Fifa mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Hukuman itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib berkaitan pemalsuan dokumen dengan FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).