
Zaliha berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, sekiranya ada aduan dibuat, polis akan menyerahkan kembali perkara berkenaan kepada parti untuk tindakan selanjutnya.
“Kena lihat perlembagaan, sebab pengalaman yang lepas-lepas pun kalau ada anggota parti bawa hal-hal parti kepada polis, polis akan cakap ini perkara dalaman dan pulangkan untuk tindakan seterusnya.
“Saya kena lihat balik klausa itu, tapi rakan-rakan peguam cakap memang ada klausa itu,” katanya kepada FMT.
Zaliha berkata demikian mengulas tindakan pelawak dan pengarah filem, Afdlin Shauki yang tewas dalam pemilihan jawatan ketua PKR Bahagian Setiawangsa, membuat laporan polis dengan antara lain mendakwa JPP gagal mengurus perjalanan pengundian dengan baik.
Dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Pudu 6 Jun lalu, Afdlin yang tewas kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, turut mendakwa banyak penipuan berlaku dalam pemilihan pada hujung bulan lalu itu.
Katanya, laporan polis dibuat terhadap JPP yang didakwanya gagal bertindak terhadap aduan mengenai kelemahan perjalanan pengundian yang diajukan sepanjang pemilihan berlangsung.
Mengulas lanjut, Zaliha menggesa anggota parti untuk membuat aduan berkaitan pemilihan mengikut saluran rasmi parti supaya pihak JPP dapat meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Memang kita kata kena lalu (saluran) rasmi, kalau (adu) kat luar ni memang nampak besar. Pegangan kita jelas, kalau aduan tu ‘legit’ kita akan ambil tindakan cuma minta anggota bersabar sebab kita kena teliti satu persatu,” katanya selain menambah bahawa dia hanya mengetahui mengenai laporan polis yang dibuat Afdlin menerusi media.
Sementara itu, menurut sumber dalaman PKR, tidak menjadi kesalahan bagi ahli parti untuk membuat laporan polis bagaimanapun hanya JPP boleh menyelesaikan isu berkaitan pemilihan.
“Urusan sekarang berkaitan pemilihan bawah JPP…kali ini lembaga disiplin tidak boleh ambil apa-apa tindakan dalam apa-apa urusan JPP, keputusan dah tetapkan,” katanya.