
Terdahulu, Ketua Umno Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli lembaga dipengerusikan Zaliha itu, kerana Umno Batu memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan (WP).
Zaliha memberitahu FMT bahawa beliau menghormati keputusan Gulam Muszaffar untuk berundur.
“Saya telah berhubung dengan Johari Abdul Ghani selaku pengerusi Umno Wilayah Persekutuan untuk menamakan calon baharu yang sesuai bagi mewakili Umno sebagai ahli lembaga pemegang amanah YWP,” katanya.
Umno Batu memutuskan hubungan dengan PH WP selepas mendakwa ia tidak dilayan secara adil. Antaranya, menurut Gulam Muszaffar, PH gagal menunaikan janji memberikan satu daripada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk di bahagian Batu kepada Umno Batu.
Gulam Muszaffar juga mendakwa Zaliha membatalkan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian Umno WP untuk membincangkan isu berbangkit. Katanya, ia dijadualkan pada Rabu lepas namun dibatalkan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan.
Berhubung perjumpaan tersebut, Zaliha menjelaskan ia bukan dibatalkan tetapi dijadualkan semula kerana komitmen yang tidak dapat dielakkan.
“Pejabat saya sedang menyelaras tarikh baru bersama Pejabat Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan,” katanya.
Di sebalik perkembangan ini, Zaliha berpandangan kerjasama antara Pakatan Harapan dan Umno dalam kerajaan kekal utuh.
“Agenda yang lebih utama adalah memastikan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan terus dilaksanakan dengan lancar,” katanya.