
Beliau berkata, pemaju perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu milik komuniti itu, dikurniakan oleh Sultan Selangor pada zaman British.
Katanya, pemaju harus memastikan orang Melayu, penduduk asal tanah itu, mampu memiliki kediaman yang akan dibangunkan pada harga yang bersesuaian, dan berupaya membina kehidupan yang baik di situ.
“Hari ini kita berdepan masalah yang sangat kronik dari segi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan saya tidak bersetuju perkara ini diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
“Tetapi disebabkan perkara ini sudah berlaku dan tidak mungkin boleh berpatah kembali, justeru pemaju perlu pastikan pembangunan di kawasan seluas 3.19 hektar itu mampu dibeli oleh orang Melayu.”
Terdahulu dilaporkan berlaku kekecohan ketika operasi pengosongan 37 rumah di Kampung Sungai Baru,apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan itu.
Operasi itu dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Ketika kekecohan itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas terkena objek di kepala, dan tiga individu ditahan.
Johari turut menyifatkan tindakan pemaju menggunakan akta pengambilan secara paksa terhadap 14 pemilik rumah yang enggan keluar sebagai tidak bertanggungjawab.
“Apabila kerajaan terdahulu ambil alih kawasan ini, tiada dilihat isu pengusiran penduduk di situ beramai-ramai oleh pemaju,” katanya.
“Jadi ini yang berlaku sekarang … pemaju tidak bertanggungjawab melihat kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya di tanah yang sememangnya untuk orang Melayu.”
Dalam pada itu, Johari berkata, beliau juga akan berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bagi memastikan pembangunan di kawasan itu hanya boleh dibeli oleh orang Melayu.
“Kalau tiada orang Melayu nak beli, pemaju kena tunggu sehingga orang Melayu dapat beli,” katanya.