
Anwar berkata, pihaknya menyambut baik titah tersebut, yang disifatkan selari dengan pendirian kerajaan menghargai warisan sejarah di samping merancang pembangunan yang seimbang dan adil.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“Sebagai pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional.”
Dalam pada itu, Hamzah berkata, titah Sultan Sharafuddin itu memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keresahan dan suara hati rakyat, terutamanya dalam konteks kelangsungan dan maruah orang Melayu.
“Inilah jua pendirian Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), yang mana kami telah suarakan secara tegas bahawa sebarang pembangunan di Kampung Sungai Baru harus mengambil kira kepentingan dan mengekalkan demografi asal penduduk di sana,” katanya dalam kenyataan.
Pada 11 Sept, kekecohan tercetus di Kampung Sungai Baru ketika pihak berkuasa menjalankan operasi mengusir penduduk 37 buah rumah, dengan 14 pemilik enggan keluar.
Ketika insiden itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera akibat terkena objek di kepala yang didakwa dilempar oleh seorang ahli kumpulan yang membantah pengusiran itu.
Polis kemudiannya menahan tiga suspek berhubung insiden tersebut. Tujuh yang lain ditahan pada Sabtu, namun polis menyatakan bahawa mereka bukan penduduk tetapi pemimpin dan ahli sebuah ‘pertubuhan’.
Terdahulu dilaporkan, Sultan Sharafuddin memberikan pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru dengan bertitah, ia harus dikendalikan secara teliti dan berhemah, dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Menurut baginda, Kampung Baru yang menjadi simbol kebangkitan Melayu sejak 1900 mempunyai sejarah dan warisan asal yang wajar dipertimbangkan dalam sebarang keputusan pembangunan semula oleh semua pihak terlibat.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa mengulangi komitmen kerajaan untuk membela kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru dan memastikan mereka tidak dipinggirkan dalam sebarang pelan pembangunan semula.
“Setiap langkah pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh hemah dan berpaksikan lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian masyarakat atau mempolitikkan isu ini adalah tidak wajar.