‘Jangan pura-pura kalau nak kerjasama’, Umno Batu putus hubungan dengan PH WP

‘Jangan pura-pura kalau nak kerjasama’, Umno Batu putus hubungan dengan PH WP

Umno Batu dakwa satu sub zon Majlis Perwakilan Penduduk yang menjadi haknya tidak diberi kepadanya.

Ghulam Muzaffar Gulam Mustakim
Ketua Umno Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, dakwa tiada kuota MPP diberikan kepada Umno bahagian, kecuali di Parlimen Lembah Pantai. (Gambar UMNO)
PETALING JAYA:
Umno bahagian Batu memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan (WP) selepas mendakwa ia tidak dilayan secara adil.

Perkara itu disahkan ketuanya, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, menjelaskan keputusan itu dibuat sebulat suara oleh biro politik bahagian berkenaan, beberapa minggu lalu, kerana PH gagal menunaikan janji memberikan satu daripada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bahagian Batu kepada Umno Batu, sebagaimana pekeliling diputuskan biro politik bahagian berkenaan.

MPP dianggotai masyarakat setempat, bertujuan melaksanakan program kemasyarakatan dan modal insan di WP, dan berperanan dalam menentukan keperluan dan penyertaan penduduk setempat dalam pembangunan.

“Satu zon itu patut bagi kepada Umno tapi bila keputusan keluar, dia tak bagi kepada Umno. Dia bagi tiga kepada wakil Ahli Parlimen Batu yang kalah pemilihan cabang dan tiga kepada ketua cabang PKR yang baharu untuk melantik,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran tewas kepada Asheeq Ali Sethi Alivi dalam pemilihan PKR Batu awal tahun ini.

“Mereka sudah langgar syarat perjanjian, hak kita diambil. Susah sangat ke nak bagi kuota MPP?”

Gulam Muszaffar juga mendakwa tiada kuota MPP diberikan kepada Umno bahagian lain, kecuali di Parlimen Lembah Pantai.

Dalam pada itu, Gulam Muszaffar mendakwa Ahli Parlimen Batu tak pernah beri peruntukan kepada Umno untuk buat kerja di Parlimen Batu.

“Kita guna duit kita sendiri di Batu ini. Sepatutnya kerjasama berjalan dengan baik sebab kita nak masuk pilihan raya bersama, tapi mereka seolah-olah anggap kami tak wujud,” katanya.

Gulam Muszaffar mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (WP), Dr Zaliha Mustafa, membatalkan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian Umno WP untuk membincangkan isu berbangkit. Katanya, ia dijadualkan pada Rabu lepas namun dibatalkan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan.

Pemimpin akar umbi Umno ini juga mendakwa Zaliha sejak menjadi menteri tidak pernah memanggil beliau untuk berbincang tentang dasar dan gerak kerja di WP.

Begitu juga, dakwanya, pimpinan PH WP tidak pernah ajak Umno WP bincang bagaimana hendak mengukuhkan Barisan Nasional-PH di WP.

“Jangan berpura-pura kalau nak kerjasama. Buat betul-betul. Kalau rasa Umno Batu tak ada nilai, tak payah nak bekerjasama dengan kami.

“Kami pun tak terhegeh-hegeh nak kerjasama, sedangkan kita jangka PRU16 hujung tahun hadapan,” katanya.

FMT diberitahu keputusan putus hubungan itu telah dimaklumkan kepada Umno Wilayah Persekutuan, yang dihubungi untuk respons.

Dalam pada itu, Gulam Muszaffar mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, yang dipengerusikan Zaliha.

Surat perletakan jawatan akan saya hantar kepada pengerusi YWP dalam masa terdekat.

“Keputusan yang diambil saya selaras dengan keputusan biro politik Umno Batu yang memutuskan hubungan dengan rakan politik dalam komponen PH di Batu dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.