Ugut bunuh PM, Bukit Aman akan siasat

Ugut bunuh PM, Bukit Aman akan siasat

Tular seorang lelaki membuat ugutan terhadap Anwar Ibrahim semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.

Nuzulan Mohd Din
Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Nuzulan Mohd Din, berkata dua laporan diterima berkait ugutan bunuh ke atas perdana menteri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda PKR membuat dua laporan polis mengenai video tular memaparkan seorang lelaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan Kuala Lumpur, Mohammad Rais Hamda, berkata laporan dibuat Pemuda Kuala Lumpur dan Pemuda Selangor di IPD Dang Wangi, kira-kira 8 malam ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas membuat laporan itu, berkata anak muda mengecam sekeras-kerasnya ugutan bunuh seumpama itu yang boleh menjejaskan keharmonian negara yang telah lama dibina.

“Kami berharap kertas siasatan akan dibuka dan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku berkenaan,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu, tular di TikTok memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadap Anwar dan mendakwa dirinya pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Nuzulan Mohd Din, mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.