Pusat perlu turunkan kuasa kepada negeri urus peruntukan, kata ahli MKT Umno

Pusat perlu turunkan kuasa kepada negeri urus peruntukan, kata ahli MKT Umno

Abdul Rahman Dahlan berkata, sudah tiba masanya hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dari segi pentadbiran, pengurusan dan pembangunan dilihat semula bagi memastikan wujud keseimbangan dalam pembangunan di negara ini.

Perkara membabitkan penurunan kuasa menguruskan peruntukan pembangunan kepada negeri akan dibawa dalam Konvensyen Barisan Nasional, esok, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Abdul Rahman Dahlan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Negeri perlu diberikan kuasa menguruskan peruntukan pembangunan sendiri demi mempercepat pelaksanaan projek, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, isu penurunan kuasa membabitkan pengurusan peruntukan itu kepada kerajaan negeri akan dibawa dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN), esok.

Beliau berkata, kerajaan negeri lebih mengetahui keutamaan di negeri masing-masing, maka wajar jika peruntukan kewangan diuruskan mereka sendiri.

Katanya, sudah tiba masanya hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dari segi pentadbiran, pengurusan dan pembangunan dilihat semula bagi memastikan wujud keseimbangan dalam pembangunan di negara ini.

“Kita perlu berfikir di luar kotak dan tampil dengan semangat, pemikiran dan cara baharu untuk menguruskan negara ini.

“Kita tidak boleh bergantung dengan cara lama kerana jika rakyat mahukan perubahan dari segi penurunan kuasa, kita perlu bergerak seiring dengan kehendak rakyat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Katanya, beliau antara pendokong kepada idea penurunan kuasa agar tanggungjawab mengurus peruntukan pembangunan diturunkan kepada semua negeri, bukan hanya kepada Sabah.

Mengulas lanjut katanya, demi kelangsungan BN di Sabah, perubahan sebegitu perlu dilakukan agar BN terus kekal rasional.

Rahman berkata, BN juga perlu terus memperjuangkan hak negeri bagi meletakkan Sabah sebagai negeri penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mahu menjadikan Sabah sebagai negeri yang membangun dari segi ekonomi dengan memanfaatkan keluasan tanah, kekayaan hasil bumi dan kedudukan geografi Sabah untuk lebih maju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.