
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, orang awam melaporkan kejadian itu selepas melihat mangsa berusia 23 tahun jatuh dari balkoni apartmen itu pada 12.45 tengah malam.
“Siasatan lanjut di tempat kejadian bersama unit forensik daripada D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor mendapati terdapat kesan pergelutan.
“Pemeriksaan ke atas badan mangsa didapati ada kecederaan dan pendarahan di kepala. Kita percaya terdapat unsur jenayah yang menyebabkan mangsa jatuh di tempat kejadian,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, susulan itu pasukan polis D9 JSJ Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Beliau berkata, semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun ditahan di kawasan sekitar Desa Jaya, Johor Bahru.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku disebabkan masalah hutang dadah jenis syabu membabitkan mangsa.
“Rentetan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
Kamarul Zaman berkata, semakan rekod lampau mendapati semua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 5 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.