
Katanya, selagi Umno dan PAS tidak bergabung, termasuk parti “nyamuk” Melayu tidak dikuburkan, orang Melayu akan terus berpecah.
Justeru, katanya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu memikirkan cara memperkuatkan kedudukan politik Melayu.
“Selagi dua parti politik terbesar Melayu, iaitu Umno dan PAS tidak bergabung serta selagi parti nyamuk Melayu tidak dibubar atau dikuburkan, orang Melayu akan terus berpecah-belah, kuasa politik Melayu terus lemah dan kerajaan terpaksa mengharapkan sokongan parti bukan Melayu termasuk yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian secara maya dalam Majlis Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertajuk “Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-Undang” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Hamid turut melahirkan kebimbangannya berhubung simposium yang diadakan tiga hari itu.
“Saya khuatir simposium ini juga akan menjadi seperti Jumaat Hari Jawi yang mati tak berkubur seminggu selepas ia dilancarkan.
“Tetapi, simposium ini ada kelainannya. Ia dianjur oleh Pejabat Perdana Menteri.
“Kita ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di atas keberaniannya menganjurkan simposium ini dan membukanya dalam keadaan kerajaannya yang tidak kukuh itu,” katanya.
Beliau juga mengharapkan penganjuran simposium itu bukan sekadar bagi mendapat undi orang Melayu dalam pilihan raya umum (PRU).