
Berita Harian melaporkan tertuduh berusia 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan majistret Noor Fazlina Musa.
Mengikut pertuduhan pertama, remaja itu didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pemotong rumput warga Myanmar, Siouca Chakma, 21, di Jalan Pintasan Semeling pada 11.10 pagi 7 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian seorang lagi pemotong rumput warga Myanmar, Akter Kamal Hosen, 33, pada tarikh, waktu dan tempat sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 27 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes sementara.
Bapa tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan RM4,000.
Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfarahazlinda Zahari.
Terdahulu, remaja yang berpakaian sekolah itu tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani ditemani ahli keluarga kira-kira 9 pagi. Dia kelihatan tenang ketika dibawa menghadiri prosiding secara tertutup itu.
Dalam kejadian 7 Mei lalu, pelajar itu memandu MPV bapanya dan merempuh dua pemotong rumput di Jalan Pintasan Semeling di Sungai Petani.
Susulan itu, Siouca meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala rakan sekerjanya, Akter meninggal dunia ketika dirawat di hospital dua hari lalu.