Saman Yeoh terhadap bekas KPN berkait kenyataan ‘negara Kristian’ akan dibicara

Saman Yeoh terhadap bekas KPN berkait kenyataan ‘negara Kristian’ akan dibicara

Kedua-dua pihak gagal menyelesaikan kes itu di luar mahkamah ketika proses mediasi hari ini.

Hannah Yeoh memfailkan saman terhadap Musa Hassan tahun lalu kerana mendakwa beliau cuba menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
KUALA LUMPUR:
Saman fitnah difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terhadap bekas ketua polis negara, Musa Hassan akan diteruskan melalui perbicaraan.

Peguam Musa, Khairul Azam Abdul Aziz berkata, ini berikutan kedua-dua pihak gagal menyelesaikan kes itu di luar mahkamah ketika proses mediasi hari ini.

“Kami akan kemas kini mengenai keputusan Mahkamah Tinggi hari ini Selasa depan,” katanya.

Yeoh memfailkan saman terhadap Musa tahun lalu kerana mendakwa beliau cuba menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian. Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat pada satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Jan 2020.

Musa, yang merupakan ketua polis negara dari 2006 hingga 2010, didakwa memberitahu forum bahawa kumpulan yang tidak dinamakan berusaha memusnahkan Islam di negara ini.

Beliau dilaporkan mendakwa telah membuat kajian dan mendapati wujudnya hubungan antara kumpulan evangelis Kristian dengan DAP.

Musa juga didakwa berkata, Yeoh menulis sebuah buku “untuk menjadikan negara ini sebuah negara Kristian”.

Yeoh sebelum ini menerbitkan autobiografi bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey”, yang memperihalkan perjalanan hidupnya sebagai seorang wanita Malaysia biasa yang berubah susulan kepercayaan sebagai seorang penganut agama Kristian yang membawanya ke dunia politik.

Dalam saman itu, Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Musa dan injunksi untuk menghalangnya dan pihak lain daripada terus menyiarkan kenyataan seperti didakwa.

Yeoh juga memfailkan saman terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berhubung dua catatan di Facebook yang dibuatnya pada Mei 2017 dengan mendakwa beliau “mempunyai motif untuk menyebarkan agama Kristian melalui politiknya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.