
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aishah Ahmad berkata, kemungkinan besar berlaku kenaikan harga kereta susulan peningkatan kos yang ditanggung pengeluar.
Bagaimanapun katanya, pengeluar kenderaan di Malaysia belum memutuskan sama ada akan menaikkan harga kenderaan atau terus menyerap kos yang semakin meningkat.
“Kenaikan harga bahan mentah, kos logistik, kejatuhan ringgit antara lain akan menjadi penyebab pengeluar terpaksa menaikkan harga kenderaan. Namun ia belum diputuskan lagi.
“Jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir Jun ini tidak disambung, ia akan memburukkan keadaan, sekali gus meningkatkan lagi harga kenderaan jika pengeluar memutuskan menaikkan harga produk mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Roslan Abdullah berkata, pengeluar kereta nasional itu masih cuba menyerap kenaikan kos bahan mentah bagi mengekalkan harga kenderaannya.
Namun katanya, Proton mungkin terpaksa berkongsi kenaikan harga itu dengan pelanggan, jika keadaan bertambah buruk.
“Proton belum putuskan apa-apa lagi buat masa sekarang. Jika ada (kenaikan atau sebaliknya), kami akan umumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini, kita masih cuba menyerap kenaikan kos.”
Bulan lalu, MAA mendedahkan jualan kenderaan dalam negara meningkat kepada 73,222 unit pada Mac lalu berbanding 64,938 pada Mac 2021.
Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 65,902 unit pada Mac berbanding 58,498 unit pada bulan sama 2021, manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 7,320 unit berbanding 6,440 unit pada Mac 2021.
MAA berkata, jumlah jualan tahun ini bagi Mac 2022 naik 12.8% kepada 159,752 unit berbanding 148,155 unit dalam tempoh sama 2021.