
Ng Kor Sim dari DAP, berkata sejak tindakan tegas itu dikuatkuasakan, pengilang minyak mendapati kos operasi mereka meningkat sekurang-kurangnya 20%.
Beliau berkata, perkara sama turut berlaku kepada sektor lain, termasuk pembinaan, di mana had muatan lebih ketat menyebabkan peningkatan perbelanjaan pengangkutan dan operasi.
Dalam kenyataan, Ng berkata dasar itu “pasti memberikan kesan menular kepada ekonomi yang lebih luas”.
“Apabila kos pengeluaran dan logistik meningkat, kesannya akan dirasai pengguna melalui harga barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi, sekali gus menambah lagi tekanan kepada kos sara hidup,” kata Adun Jementah itu.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu juga menjejaskan pemandu lori yang dibayar berdasarkan berat muatan dibawa.
Mengambil kira had muatan kini dikuatkuasakan dengan ketat, beliau berkata, majoriti pemandu daripada golongan B40 berdepan pengurangan ketara jumlah pendapatan.
Katanya, sebarang pengurangan mendadak dalam pendapatan akan memberikan tekanan amat besar kepada keluarga mereka.
Sambil menegaskan komitmen menjunjung undang-undang dan peraturan khususnya dari segi keselamatan, bagaimanapun beliau berkata, peraturan sedemikian sudah lapuk dan mungkin tidak mencerminkan kemajuan teknologi semasa.
“Hari ini, lori dibina lebih kukuh dilengkapi dengan sistem keselamatan yang lebih baik, dan mampu membawa muatan lebih berat dengan lebih selamat. Tambahan pula, kajian menunjukkan kebanyakan nahas jalan raya melibatkan kecuaian kenderaan lebih kecil atau pengguna jalan raya lain,” katanya.
Ng menggesa JPJ dan kerajaan mengkaji semula dasar mengenai penguatkuasaan lebih ketat itu mengambil kira kebajikan pemain industri dan juga golongan berpendapatan sederhana serta rendah.
Beliau berkata, kajian semula undang-undang dan peraturan sedia penting bagi mencerminkan realiti semasa serta kemajuan teknologi, manakala tempoh bertenang atau aturan peralihan juga boleh dipertimbangkan untuk memberi masa kepada perniagaan dan pemandu menyesuaikan diri.
“Apa jua keputusan bagi mengetatkan penguatkuasaan ke atas lori lebih muatan mesti dibuat teliti selepas mempertimbangkan semua aspek, memandangkan kesannya meluas terhadap industri dan mata pencarian rakyat biasa,” katanya.
‘Perang’ JPJ terhadap kenderaan komersial yang membawa muatan berlebihan dilancarkan pada 14 Okt dan dijadualkan berjalan sehingga 31 Dis.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata operasi itu menandakan langkah penguatkuasaan tegas membendung kelekaan dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengendali dan pemandu kenderaan komersial yang memuatkan kenderaan secara berlebihan dan melanggar undang-undang jalan.