PM dapat kenderaan kerajaan termasuk untuk program parti, kata Anwar

PM dapat kenderaan kerajaan termasuk untuk program parti, kata Anwar

Perdana menteri jawab soalan mengenai penggunaan aset kerajaan di Sabah.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata program dihadirinya di Sabah adalah acara parti. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim berkata penggunaan kenderaan kerajaan dan pasukan keselamatan untuk perdana menteri termasuk ketika menghadiri program parti diperuntukkan dalam peraturan.

Beliau berkata demikian susulan persoalan mengenai penggunaan aset kerajaan di Sabah.

Anwar menyatakan program dihadirinya di Sabah adalah acara parti.

Presiden PKR itu berada di Sabah bagi pengumuman calon PRN, dijadual berlangsung 29 Nov.

“Jadi, saya gunakan begitu (kenderaan kerajaan). Tapi program kempen (PRN) tidak ada program kerajaan.

“Perdana menteri mesti menggunakan pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa jua program atas pertimbangan keselamatan,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai penggunaan aset kerajaan oleh perdana menteri dan seragam Pakatan Harapan ketika menghadiri program di Sabah.

Fadhli juga bertanya mengenai halangan dihadapi pentadbiran Anwar dalam menangani rasuah, dengan menyatakan skandal perlombongan didakwa melibatkan beberapa wakil rakyat yang merupakan sebahagian kerajaan perpaduan.

Anwar berkata wakil rakyat yang terlibat sudah didakwa.

“Jadi, tiada istilah melindungi (mereka daripada parti kerajaan),” katanya.

Beliau juga minta bersabar kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, dan menyatakan tiada had masa bagi kes tersebut.

Jun lalu, bekas Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dan bekas wakil rakyat Sindumin, Dr Yusof Yacob, didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM200,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei berkaitan permohonan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Tei pula didakwa atas dua pertuduhan memberi rasuah. Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.