Kenderaan ibarat mesin pembunuh, wajib ada lesen, kata pakar

Kenderaan ibarat mesin pembunuh, wajib ada lesen, kata pakar

Pakar keselamatan jalan raya sokong syarat lesen memandu bagi BUDI95 dan menegaskan pengguna mesti memilikinya atau berisiko membahayakan malah meragut nyawa orang lain.

drivers licence lesen memandu bernama pic 20925
Bermula Selasa ini kerajaan akan menyalurkan sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter kepada semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar keselamatan jalan raya menyokong syarat mewajibkan pengguna kenderaan memiliki lesen memandu sah untuk layak menerima inisiatif BUDI95, sambil mempersoalkan kewajaran pihak mengkritik peraturan itu.

Mereka berkata, undang-undang jelas menyatakan lesen memandu adalah wajib untuk mengendalikan kenderaan di jalan raya, yang digambarkan oleh Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Wong Shaw Voon ibarat ‘mesin pembunuh’.

Wong beritahu FMT, tidak logik untuk menuduh kerajaan tidak adil kerana menetapkan penerima BUDI95 perlu memiliki lesen memandu, sambil menegaskan pengguna jalan raya yang memandu tanpa lesen membahayakan orang lain.

“Kenapa dari awal kita perlu lesen untuk mengendalikan kenderaan? Kerana ia adalah mesin pembunuh. Ia boleh meragut nyawa anda dan orang yang tidak bersalah. Jadi, anda mesti melalui proses ‘latihan’ dan penilaian yang betul untuk menentukan anda layak mengendalikannya.

“Jika seseorang meninggal dunia kerana pemandu tiada lesen, bayangkan apa yang berlaku kepada keluarganya. Bagaimana jika mangsa itu pencari nafkah utama keluarga?

“Tidak memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu kenderaan di jalan awam adalah salah di sisi undang-undang. Ini undang-undang, tidak kira apa pun. Memandu bukan hak, tetapi keistimewaan yang perlu diperoleh,” katanya.

Wong berkata, walaupun hanya menunggang motosikal atau memandu di sekitar kawasan perumahan atau pekan kecil, lesen tetap diperlukan.

Katantya, selagi berada di jalan awam, mereka berisiko membahayakan orang lain.

“Jika anda menggunakannya di kawasan persendirian – kebun kecil atau ladang…terpulanglah, kerana tidak dijangka ada orang awam berada di situ.

“Di jalan awam, anda bukan satu-satunya yang mungkin menanggung akibat daripada ketidakcekapan anda. Sebab itu kita perlu pastikan sesiapa yang menggunakan jalan awam layak mengendalikan mesin itu. Ia tidak akan 100% selamat, tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha sedaya upaya untuk mengelak kemalangan.”

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Lee Lam Thye yang senada dengan pandangan itu menyatakan, tidak wajar mengecualikan sesiapa daripada syarat BUDI95 apabila undang-undang jelas mewajibkan semua pengguna jalan raya mempunyai lesen yang sah.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya diperdebatkan kerana ujian memandu direka khusus untuk memastikan pemegang lesen berupaya memandu di jalan raya serta memahami peraturan lalu lintas.

“Sekurang-kurangnya pemegang lesen mempunyai pendidikan tentang keselamatan jalan raya dan cara mengendalikan kenderaan. Bandingkan dengan seseorang yang memandu tanpa lesen, tidak tahu apa-apa tentang peraturan lalu lintas atau papan tanda – mereka adalah bahaya kepada orang lain.

“Ini penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan melindungi keselamatan serta nyawa orang lain,” kata pengerusi Alliance for a Safe Community itu.

Bermula Selasa ini kerajaan akan menyalurkan sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter kepada semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah.

Sejak pengumuman program subsidi itu Isnin lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan merekodkan 26,991 pembaharuan lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk, dan kaunter di seluruh negara.

Namun, langkah itu dikritik segelintir warganet dengan ada yang meminta pengecualian bagi penduduk di kawasan kampung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.