Pesara guna bahasa Hebrew kerana minat tulisan asing

Pesara guna bahasa Hebrew kerana minat tulisan asing

Polis berkata lelaki berusia 59 tahun mengaku pelekat pada belakang kenderaannya ditempah di kedai di Selangor sejak 13 tahun lalu.

truck with Hebrew wording
Tangkap layar video tular pacuan empat roda jenis Isuzu dilekatkan pelekat bertulis ‘Malaysia rumah kami’ dalam bahasa Hebrew.
PETALING JAYA:
Polis sudah merakam percakapan pemilik pacuan empat roda yang tular memaparkan pelekat tulisan Hebrew, baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata berdasarkan siasatan lelaki berusia 59 tahun itu mengakui pelekat dilekatkan pada belakang kenderaannya ditempah di sebuah kedai di Selangor sejak 13 tahun lalu.

Katanya, pesara kerajaan itu menggunakan bahasa Hebrew kerana minatnya terhadap pelbagai tulisan asing termasuk Greek dan Rusia.

“Dia pernah terlihat satu tulisan dalam bahasa Hebrew yang membawa maksud ‘Israel Betainu’, iaitu ‘Israel Rumahku’.

“Kemudian, dia mengolah tulisan itu dengan menukarkan ‘Israel’ kepada ‘Malaysia’, menjadi ‘Malizia Beiteinu’, yang bermaksud ‘Malaysia Rumahku’,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang, menurut Sinar Harian.

Dzulkhairi berkata, walaupun kenyataan individu terbabit direkodkan, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan pandangan pakar bahasa untuk memastikan tiada unsur lain yang mencurigakan.

Katanya, lelaki itu yang bersara sejak empat tahun lalu juga membuat laporan polis selepas kenderaannya tular di media sosial dan perkara itu disedari adiknya yang sering menggunakan kenderaan tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat provokasi atau ulasan melampau di media sosial susulan kejadian itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Terdahulu, tular klip video memaparkan pacuan empat roda jenis Isuzu dilekatkan pelekat bertulis ‘Malaysia rumah kami’ dalam bahasa Hebrew, iaitu bahasa rasmi Israel sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.

Susulan itu, Pegawai Agama Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon, membuat laporan di Balai Polis Merlimau.

Hairul berkata, video itu mula dikesan di media sosial sekitar tengah hari Selasa dan dipercayai dirakam di kawasan di Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.