
Katanya, tindakan sama turut akan dikenakan terhadap pemilik MPV yang membiarkan kenderaan itu dipandu remaja berkenaan hingga mendatangkan kecederaan dan kematian.
”Dalam kes ini memang berlaku kecuaian. Mereka membiarkan anak mereka tanpa lesen, tiada perlindungan bawa memandu kereta.
“Kedua, sekiranya menyebabkan kecederaan mana-mana pihak, sama ada syarikat atau sesiapa yang bersabit akan dikenakan tindakan keras. Macam mana boleh bawa kereta? Undang-undang kita menjaga perlindungan pengguna jalan raya di luar sana,” kata Wee kepada pemberita pada majlis rumah terbuka perdana menteri, di Seri Perdana.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata remaja itu dipercayai memandu kenderaan berkenaan tanpa pengetahuan bapanya.
“Siasatan awal mendapati bapa remaja terbabit tiada di rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan. Kita difahamkan kunci kenderaan ditinggalkan di rumah dan kesempatan itu diambil remaja itu untuk memandu MPV terbabit tanpa pengetahuan bapanya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Semalam, dalam kejadian pada 11 pagi, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, maut akibat parah di kepala, manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh MPV ketika sedang berehat di bahu jalan.
Ketika kejadian, mangsa yang meninggal dunia sedang duduk atas rumput, manakala rakannya yang parah pula berada atas motosikal yang diletakkan di bahu jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.