9 maut gempa di Afghanistan

9 maut gempa di Afghanistan

Kawasan pergunungan dan infrastruktur lemah melambatkan bantuan tiba di kampung terpencil.

Ini bencana alam terbaharu dihadapi kerajaan Taliban, yang berdepan tiga gempa kuat sejak mereka berkuasa di Afghanistan pada 2021, ketika bantuan asing merosot secara mendadak. (Gambar EPA Images)

MAZAR-I-SHARIF: Sekurang-kurangnya sembilan maut selepas gempa kuat bermagnitud 6.3 melanda utara Afghanistan, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa itu berlaku semalaman dengan pusat gempa berhampiran bandar Mazar-i-Sharif pada kedalaman 28km.

Jurucakap Jabatan Kesihatan, Kamal Khan Zadran, berkata empat maut di wilayah Balkh dan hospital wilayah itu merawat 120 mangsa cedera.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan, Mohammadullah Hamad, berkata lima terkorban dan 143 cedera di wilayah Samangan.

“Kebanyakan mangsa cedera dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Wakil AFP berkata, penduduk Mazar-i-Sharif, antara bandar terbesar di utara Afghanistan, berlari ke jalan raya kerana bimbang rumah mereka akan runtuh.

Wartawan di ibu negara Kabul, kira-kira 420km ke selatan, pula berkata mereka merasai gegaran.

Ini bencana alam terbaharu dihadapi kerajaan Taliban, yang berdepan tiga gempa kuat sejak mereka berkuasa di Afghanistan pada 2021, ketika bantuan asing merosot secara mendadak.

Ogos lalu, gempa bermagnitud 6.0 melanda bahagian timur negara itu dan memusnahkan perkampungan di lereng gunung yang meragut lebih 2,200 nyawa.

Gempa bumi kerap melanda Afghanistan, khasnya di sepanjang banjaran gunung Hindu Kush, berhampiran pertemuan plat tektonik Eurasia dan India.

Lazimnya, pasukan bantuan mengambil masa berjam-jam atau berhari melalui jalan dan laluan curam ke kampung terpencil, yang sering terputus bantuan kemanusiaan ketika bencana atau cuaca buruk melanda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.