‘Itu kes lama’, JKNK sedia siasat dakwaan bekas doktor pelatih cuba bunuh diri, kata pengarah

‘Itu kes lama’, JKNK sedia siasat dakwaan bekas doktor pelatih cuba bunuh diri, kata pengarah

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan kes berkenaan berlaku pada 2019 itu telah ditutup dan dianggap selesai.

Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin, berkata sekiranya ada laporan lebih khusus, pihaknya bersedia melakukan siasatan lanjut dan memastikan mangsa mendapat pembelaan. (Gambar Freepik)
KOTA BHARU:
Perkongsian seorang bekas doktor pelatih di media sosial yang mendakwa menjadi mangsa buli secara emosi di sebuah hospital kerajaan di Kelantan sehingga menyebabkan berlaku cubaan bunuh diri, adalah kes lama.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin, berkata kes berkenaan yang berlaku pada 2019 itu telah ditutup dan dianggap selesai, kerana dakwaan itu tidak dapat dibuktikan dengan jelas, namun kini ia ditularkan kembali.

“Kita melihat laporan tersebut, ia tidak dinyatakan siapa yang menulis, menyebabkan kita sukar untuk mengenal pasti sama ada pengadu adalah doktor siswazah atau sebaliknya.

“Sekiranya ada laporan yang lebih khusus, kita sentiasa bersedia untuk melakukan siasatan lanjut dan memastikan mereka (mangsa buli) akan mendapat pembelaan sekiranya kejadian benar-benar berlaku,” katanya selepas hadir Majlis Sambutan Hari Asma Sedunia Peringkat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pelancaran Klinik Asma Teruk di HRPZ II, di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai perkongsian seorang bekas doktor pelatih yang mendakwa mengalami penderaan emosi, selain dikutuk dan terpaksa bekerja lebih masa walaupun syif sudah tamat sepanjang ditempatkan di Jabatan Pembedahan, di sebuah hospital kerajaan di Pantai Timur.

Menurut perkongsian itu juga, akibat daripada penderaan emosi itu beliau turut melakukan cubaan membunuh diri sebanyak dua kali, selain beliau juga telah melaporkan perkara itu kepada timbalan pengarah, namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, JKNK mengadakan perjumpaan secara berkala iaitu sekitar satu hingga tiga kali sebulan untuk mendengar masalah mereka.

“Kita di JKNK, serta jabatan dan juga pakar ingin membantu mereka (doktor pelatih) bagi memastikan mereka menjadi pegawai perubatan yang terbaik. Dan kita juga mempunyai unit kaunseling yang mengalukan kedatangan mereka untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka mempunyai masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kes harian Covid-19 susulan perayaan Hari Raya, baru-baru ini.

“Setakat ini kes harian Covid-19 di Kelantan berlaku penurunan iaitu sekitar dua digit sahaja selain kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) juga telah berkurang.

“Namun, kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan selepas Hari Raya baru-baru ini pada tahap satu dan dua selain kita juga masih kekalkan katil untuk pesakit Covid-19 sekitar 300 katil di seluruh negeri dan 30 katil di ICU,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.